UNSUR-UNSUR SUPRASEGMENTAL
Suprasegmental
Suprasegmental bermaksud unsur-unsur bahasa yang terdapat dalam Bahasa Melayu yang terdiri daripada tekanan, nada, jeda, intonasi dan panjang pendek. Suprasegmental atau dikenali juga suprapenggalan adalah ciri atau sifat bunyi yang menindih atau menumpangi sesuatu fonem. Ianya bermaksud ciri suprasegmental hadir bersama-sama fonem penggalan dengan cara menumpangi bunyi segmental
Kelima-lima unsur yang terdapat dalam suprasegmental ini akan menentukan maksud sesuatu ayat atau membolehkan sesuatu ayat itu dilafazkan oleh seseorang itu seiring dengan perasaannya ketika itu. Contohnya perasaan sayang, marah atau gembira.
Unsur-unsur suprasegmental
1) Tekanan
Tekanan merupakan ucapan yang ditekankan pada satu-satu suku kata itu sehingga bahagian tersebut akan nampak lebih keras atau menonjol apabila seseorang itu menyebutkannya. Ianya juga merupakan ciri lemah atau kerasnya suara penyebutan sesuatu sukukata. Ketika mengucapkan satu-satu perkataan yang didalamnya terdapat maksud yang penting, biasanya kita akan menekan suku kata atau perkataan tersebut agar pendengar dapat memahaminya dengan tepat.
Kebiasanya penutur akan memperlihatkan ekspresi atau memek muka yang sesuai mengikut tekanan suku kata yang disebutkan. Ianya dapat menambahkan lagi keberkesanan atau menghidupkan situasi komunikasi antara penutur dengan pendengar. Kesimpulannya, ia dapat membezakan tekanan bunyi antara satu suku kata dengan suku kata yang lain.
Lambang yang digunakan untuk tekanan ialah / ' /. Dalam bahasa Melayu tekanan berlaku pada bunyi vokal. Bunyi vokal dalam bahasa Melayu disebut dengan lantang dan boleh dipanjangkan. Biasanya tekanan dalam perkataan bahasa Melayu berlaku pada suku kata yang kedua. Contohnya dalam perkataan ma ta , ta li , ba tu dan sebagainya. Suku kata bagi perkataan ma dan ta boleh dipanjangkan. Begitu jugalah bagi perkataan-perkataan lain yang mempunyai bunyi vokal.
Tekanan dalam Bahasa Melayu tidak akan merubah maksud sesuatu perkataan itu. Berbeza dengan bahasa lain. Contohnya dalam Bahasa Inggeris. Perkataan pro gres bermaksud " memajukan " ( kata kerja ) manakala prog resbermaskud " kemajuan " ( kata nama ).
2) Nada
Nada juga merupakan salah satu unsur yang terdapat dalam suprasegmental. Nada dalam pengucapan seseorang boleh kita ketahui melalui tinggi atau rendahnya suara yang dilontarkan oleh penutur kepada pendengarnya. Tinggi rendahnya suara yang diucapkan oleh seseorang itu adalah disebabkan frekuensi getaran yang berbeza antara segmen dengan segmen yang lain. Bila seseorang berada dalam kesedihan misalnya, ia akan berbicara dengan nada yang rendah. Sebaliknya bila berada dalam keadaan gembira atau marah, nada tinggilah yang biasanya digunakan. Nada yang mendayu-dayu pula biasanya digunakan dalam situasi memujuk atau apabila seseorang itu memerlukan simpati.
Perbezaan nada dapat kita ketahui melalui lambang-lambang seperti di bawah ini;
Nada | Lambang |
Rendah | 1 |
Biasa | 2 |
Tinggi | 3 |
Sangat Tinggi | 4 |
Contoh ayat dalam Bahasa Melayu yang ditandai dengan lambang nada adalah seperti di bawah;
2 3
i) Saya hendak balik.
Dalam Bahasa Melayu, nada tidak mempunyai sifat-sifat bunyi seperti penghasilan sesuatu fonem. Perbezaan nada dalam Bahasa Melayu juga tidak akan merubah maksud sesuatu perkataan itu.
Secara amnya, kebanyakan bahasa di dunia ini memerlukan unsur ini bagi membezakan makna dalam pertuturan. Contohnya dalam Bahasa Mandarin, Thailand, Vietnam dan sebagainya. Profesor Dr. Abdullah Hassan melalui bukunya bertajuk Linguistik Am menyatakan "ma" dalam Bahasa Mandarin ada empat makna, iaitu bergantung pada nada sama ada mendatar, meninggi, turun naik, dan menurun. Jika disebut dengan nada rendah, ia akan membawa maksud kuda. Jika disebut dengan nada biasa akan membawa maksud emak. Jika disebut dengan nada tinggi menjadi maksud jerami. Jika ia disebut dengan nada paling tinggi pula akan membawa maksud marah.
3) Jeda
Unsur yang seterusnya dalam suprasegmental ialah jeda. Jeda yang juga disebut persendian ialah ciri atau unsur hentian( senyap ) dalam ujaran sebagai tanda memisahkan unsur linguistik, iaitu perkataan, ayat atau rangkai kata.
Penentuan jeda dalam pengucapan akan menentukan maksud yang akan disampaikan oleh seseorang penutur itu. Dengan jeda yang tepat, pendengar dapat memahami dan bertindakbalas terhadap apa juga perkara yang diungkapkan oleh penutur dengan tepat. Penggunaan jeda yang tidak tepat akan membuatkan satu-satu pengucapan itu bukan sahaja janggal didengar malah tidak dapat difahami.
Dalam bahasa lisan, jeda ditandai dengan kesenyapan. Pada bahasa tulisan pula, jeda ditandai dengan lambang garis miring [/], tanda koma [,], tanda koma bertitik [;], tanda nota bertindih [:], tanda sempang [-], atau tanda pisah [--]. Kesimpulannya, perubahan jeda akan merubah maksud sesuatu pengucapan itu.
Cuba kita perhatikan contoh ayat di bawah. Contoh-contoh ayat di bawah akan membawa maksud yang berbeza sekiranya jedanya berubah. Perubahan maksud yang dinyatakan adalah seperti berikut;
Contoh Ayat 1
Menurut pemeriksaan doktor Abu Samah memang menghidap demam denggi |
Contoh ayat di atas akan membawa maksud yang berbeza sekiranya jedanya berubah. Perubahan maksud yang dinyatakan adalah seperti berikut;
i) Menurut pemeriksaan / doktor Abu Samah / memang menghidap demam
denggi
Maksudnya : Melalui pemeriksaan oleh seseorang yang tidak dinyatakan, doktor
Abu Samah memang sedang menghidap demam denggi.
ii) Menurut pemeriksaan doktor / Abu Samah / memang menghidap demam denggi
Maksudnya : Melalui pemeriksaan oleh seseorang doktor yang tidak dinyatakan,
Abu Samah memang sedang menghidap demam denggi.
iii)Menurut pemeriksaan doktor Abu / Samah / memang menghidap demam denggi
Maksudnya : Melalui pemeriksaan oleh doktor yang bernama Abu, Samah
memang sedang menghidap demam denggi.
Contoh Ayat 2
Emak Siti makan roti |
i) Mak Siti / makan roti.
Ayat di atas merupakan ayat penyata yang bermaksud seseorang yang
bernama Mak Siti sedang makan roti.
ii) Mak / Siti / makan roti.
Ayat ini pula merupakan cakap ajuk yang membawa maksud seseorang sedang
memberitahu ibunya bahawa ada seseorang yang bernama Siti sedang makan
roti.
Contoh Ayat 3
Itu lembu jantan Pak Ali |
i) Itu / lembu jantan Pak Ali
Ayat penyata di atas menjelaskan kepada kita lembu jantan itu adalah
kepunyaan seeorang yang bernama Pak Ali.
ii) Itu / lembu jantan / Pak Ali
Ayat di atas pula bermaksud seseorang yang tidak dinyatakan sedang
memberitahu Pak Ali bahawa itu adalah seekor lembu jantan.
Contoh Ayat 4
Adik Sarah Hani baca buku Salmah |
i) Adik / Sarah Hani / baca buku / Salmah
Ayat di atas merupakan cakap ajuk yang bermaksud seseorang memberitahu
adik bahawa Sarah Hani sedang membaca buku kepunyaan Salmah
ii) Adik Sarah / Hani / baca / buku Salmah
Ayat di atas juga merupakan cakap ajuk yang bermaksud seseorang
memberitahu adik Sarah bahawa Hani sedang membaca buku kepunyaan
Salmah
iii) Adik Sarah Hani / baca buku Salmah
Ayat di atas merupakan ayat perintah yang bermaksud seseorang mengarahkan
adik Sarah Hani agar membaca buku yang bertajuk Salmah. Ianya juga boleh
membawa maksud adik Sarah Hani sedang membaca buku bertajuk Salmah.
iv) Adik Sarah Hani / baca / buku Salmah
Ayat di atas juga merupakan ayat penyata yang menjelaskan adik Sarah Hani
sedang membaca buku kepunyaan Salmah.
Contoh Ayat 5
Khamis datang rumah Ahmad |
i) Khamis datang / rumah Ahmad
Maksudnya seseorang yang bernama Khamis telah datang ke rumah Ahmad.
ii) Khamis / datang rumah / Ahmad
Maksudnya seseorang yang tidak dinyatakan telah memberitahu Ahmad bahawa
seseorang yang bernama Khamis telah datang ke rumahnya. Ia juga boleh
membawa maksud seseorang yang tidak dinyatakan sedang mempelawa Ahmad
untuk datang ke rumahnya pada hari Khamis.
iii) Khamis / datang rumah Ahmad
Maksudnya seseorang yang tidak dinyatakan telah mengajak seseorang yang
lain untuk pergi ke rumah Ahmad pada hari Khamis
Contoh Ayat 6
Ali minum susu ibu |
i) Ali / minum / susu ibu
Maksudnya seseorang mengarahkan Ali agar minum susu ibu.
ii) Ali minum / susu ibu
Ayat ini menjelaskan bahawa Ali sedang minum susu ibu.
iii) Ali / minum susu / ibu
Ayat ini merupakan cakap ajuk yang menjelaskan kepada ibu bahawa Ali
sedang minum susu.
Contoh Ayat 7
Ayah Zaki Anas pulang semalam |
i) Ayah Zaki Anas / pulang / semalam
Maksudnya, ayah kepada seseorang yang bernama Zaki Anas pulang pada hari
semalam.
ii) Ayah Zaki / Anas / pulang semalam
Ayat di atas menunjukkan seseorang yang bernama Ayah Zaki sedang
diberitahu oleh seseorang yang tidak dinyatakan bahawa Anas telah pulang
semalam.
iii) Ayah / Zaki Anas / pulang semalam
Maksudnya ayah diberitahu bahawa Zaki Anas telah pulang semalam.
Contoh Ayat 8
Emak monyet hitam masuk rumah Abu |
i) Emak monyet hitam / masuk / rumah Abu
Maksudnya ada seekor ibu monyet yang berwarna hitam telah masuk ke rumah
Abu.
ii) Emak monyet hitam / masuk rumah Abu
Ayat ini mengarahkan seseorang yang bernama emak monyet hitam agar masuk ke
rumah Abu.
iii) Emak / monyet hitam / masuk rumah Abu
Maksudnya emak sedang diberitahu bahawa ada seekor monyet berwarna hitam
sedang masuk ke rumah Abu.
Contoh Ayat 9
Tuan Haji Rahim baik orangnya |
i) Tuan / Haji Rahim / baik orangnya
Seseorang yang berpangkat dikenali panggilan tuan sedang diberitahu tentang
Haji Rahim yang baik orangnya.
ii) Tuan Haji / Rahim / baik orangnya
Seseorang yang dikenali sebagai Tuan Haji sedang diberitahu tentang Rahim
yang baik orangnya.
iii)Tuan Haji Rahim / baik orangnya
Ini adalah ayat penyata yang menjelaskan Tuan Haji Rahim seorang yang baik.
Contoh Ayat 10
Cikgu pergi rumah doktor Ramli Husin |
i) Cikgu / pergi rumah / doktor Ramli Husin
Maksudnya cikgu sedang pergi ke rumah doktor Ramli Husin.
ii) Cikgu / pergi rumah doktor / Ramli Husin
Maksudnya Ramli Husin sedang diberitahu bahawa cikgu pergi ke rumah doktor.
iii) Cikgu / pergi rumah doktor Ramli / Husin
Maksudnya Husin sedang diberitahu bahawa cikgu pergi ke rumah doktor
Ramli.
4) Intonasi
Intonasi juga merupakan salah satu unsur yang terdapat dalam suprasegmental. Intonasi adalah turun naik nada suara dalam pengucapan ayat atau frasa. Intonasi juga disebut lagu bahasa.
Terdapat pelbagai intonasi atau lagu yang tedapat pada ayat dalam bahasa Melayu. Contohnya , ayat berita mempunyai intonasi yang menurun pada akhir ayat. Manakala bagi ayat tanya pula mempunyai intonasi yang tinggi pada akhir ayat. Apabila kita mengujarkan dialog kita akan menggunakan ayat-ayat yang diucapkan secara bersambung-sambung. Ayat-ayat yang dituturkan itu menggunakan intonasi atau lagu yang berbeza-beza. Semua jenis ciri suprasegmental atau suprapenggalan, iaitu tekanan, kepanjangan, jeda dan nada secara kombinasi turut membentuk intonasi ayat dan digunakan dalam pertuturan.
Dalam pertuturan biasa, nada suara sentiasa berubah-ubah. Apabila nada suara menaik, wujudlah intonasi menaik. Apabila nada suara menurun, wujudlah intonasi menurun. Apabila nada suara berada pada sesuatu kelangsingan agak lama, wujudlah intonasi mendatar.
Lambang-lambang yang digunakan untuk menunjukkan perbezaan intonasi adalah seperti berikut;
Lambang | Maksud |
l! | Intonasi menurun secara beransur-ansur |
l | Intonasi menaik ( bukan pada akhir ayat ) |
// | Intonasi menaik secara beransur-ansur |
= | Intonasi tinggi tetapi mendatar |
Ʊ | Intonasi menurun dan menaik |
5) Panjang Pendek
Panjang-pendek atau disebut kepanjangan bunyi merupakan ciri khusus yang terdapat pada perkataan dalam bahasa-bahasa tertentu. Ciri kepanjangan atau panjang-pendek ini boleh membezakan makna dalam bahasa-bahasa tertentu seperti bahasa Inggeris, dan bahasa Arab tetapi tidak membezakan makna dalam bahasa Melayu.
Selain itu, suprasegmental juga membantu murid mempelajari cara menyebut sesuatu perkataan mengikut panjang-pendek bunyi diucapkan. Panjang-pendek sesuatu suku kata atau perkataan diucapkan bergantung pada situasi dan keadaan. Guru perlu memberi perhatian semasa meujarkan sesuatu perkataan atau ayat.
Lambang bagi ciri panjang-pendek ini ialah [ . ] yang dinamakan mora. Jika tanda mora ini satu titik [ . ] kepanjangan bunyinya setengah mora, dua titik [ : ] kepanjangan bunyinya satu mora, dan jika empat titik [ :: ] kepanjangannya ialah dua mora.
Dalam bahasa Inggeris perbezaan makna ini terjadi jika ciri panjang pendek ini digunakan. Contohnya perkataan sit bermakna “ duduk “, dan si : t bermakna “ tempat duduk “.
Dalam bahasa Arab pula, unsur panjang pendek pula berkait rapat dengan hukum tajwid iaitu hukum mad. Dalam bacaan al-Quran sememangnya hukum panjang pendek ini bukan sahaja memberi makna yang berbeza malah boleh memberikan kesan yang besar jika berlaku kesalahan. Contohnya, perkataan “amin” jika sebutan “a” dipanjangkan sehingga enam harakat (hukum mad lazim), maknanya ialah selamat (rujuk surah al-Maidah: 2). Tetapi bagi ucapan “amin” selepas surah al-Fatihah, “a” dibaca dua harakat (hukum mad badal) dan “min” boleh dibaca dua, empat atau enam harakat (berdasarkan hukum mad arid lissukun) yang bermaksud terimalah. Walau bagaimanapun, apabila kita berbahasa Arab, hukum tajwid termasuk hukum mad (hukum panjang pendek) ini tidak berlaku; begitu juga dengan hukum ghunnah(dengung).
Komentar
Posting Komentar