CIRI-CIRI BAHASA MELAYU KLASIK (SULALATUS SALATIN & HIKAYAT ABDULLAH)
1. SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU
Setiap bangsa di dunia ini mempunyai bahasa pertuturan yang tersendiri. Begitu juga bagi bangsa Melayu. Bahasa yang menjadi perantara untuk dituturkan di kalangan bangsa Melayu ialah bahasa Melayu. Bahasa Melayu tergolong dalam subkeluarga bahasa Melayu-Polinesia dan terletak di bawah rumpun Austronesia. Penyebaran bahasa ini di Kepulauan Melayu dan Lautan Pasifik menyebabkan Bahasa Melayu telah berkembang dan membentuk bahasa daerah masing-masing.
Bahasa Melayu berada di bawah cabang keluarga Nusantara yang mempunyai kira-kira 200-300 pecahan bahasa di bawahnya. Para ahli bahasa telah membahagikan peringkat perkembangan bahasa Melayu sejak zaman awal penemuannya hingga kini kepada empat iaitu zaman bahasa Melayu purba, zaman bahasa Melayu kuno, zaman bahasa Melayu klasik dan zaman bahasa Melayu moden.
Zaman bahasa Melayu klasik bermula dari awal abad ke-14 Masihi hingga ke akhir abad ke-18 Masihi. Bahasa Melayu Klasik berada pada tahap ketiga dalam periodisasi bahasa Melayu, selepas bahasa Melayu purba dan bahasa Melayu kuno. (Awang Sariyan, 1998 ). Terdapat beberapa definisi yang telah diutarakan oleh pengkaji bahasa tentang bahasa Melayu klasik. Antaranya ialah Asmah Hj.Omar (1985:33), yang menyatakan bahawa “ bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik”.
Bahasa Melayu klasik juga dikaitkan dengan kedatangan dan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara ketika itu. Sejak itu bahasa Melayu pada zaman ini turut mengalami pelbagai perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat, dan bentuk tulisan. Selain itu, bukti-bukti sahih yang menunjukkan kewujudan bahasa Melayu klasik ini ialah penemuan beberapa batu bersurat atau prasasti yang di beberapa daerah di Asia Tenggara dan Tanah Melayu menguatkan lagi fakta ini. Antaranya ialah batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356 Masihi), batu bersurat di Minye Tujuh, Aceh (1380 Masihi) dan batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu ( 1303-1387 Masihi) yang ditulis dalam tulisan Jawi.
Bahasa Melayu Klasik telah mengalami perubahan sejak kedatangan Islam di nusantara. (Siti Hajar Abdul Aziz,2011) Ini menunjukkan bahawa pengaruh Islam semakin kuat sehingga bahasa Melayu turut mengalami perubahan. Antara ciri-ciri bahasa Melayu klasik selaras dengan perubahan yang dialaminya ialah:
a) Ayatnya panjang dan berbelit-belit.
b) Banyak menggunakan ayat pasif dengan pendepanan predikat.
c) Banyak menggunakan gaya bahasa istana.
d) Menggunakan kosakata klasik seperti ratna, mutu manikam, kesmaran (mabuk
asmara) dan masyghul ( bersedih ).
e) Kebanyakan kata pangkal ayat yang sering digunakan ialah seperti syahadan,
alkisah, hatta, adapun.
f) Penggunaan ayat yang banyak menggunakan partikel pun dan lah.
h) Penggunaan banyak kosakata daripada pengaruh Arab dan Parsi dalam pelbagai
bidang bahasa seperti ilmu keagamaan, undang-undang, kesusasteraan,
perubatan, falsafah, tasawuf dan pemerintahan.
(Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain,2006) Zaman bahasa Melayu klasik agak panjang. Dalam melalui zaman panjang itu, ianya telah banyak digunakan dalam penulisan agama khususnya bidang tauhid atau usuluddin, syariah atau undang-undang Islam dan tasawuf. Keadaan ini telah dibuktikan dengan kemunculan tokoh-tokoh ilmu di nusantara seperti Hamzah Fansuri yang terkenal dengan karya prosanya Asrarul-Arifin fi bayan Ilmal-Suluk wal-Tauhid, al-Muntahi dan Sharabul-Ashiqin. Beberapa naskah karya sastera terkenal turut dihasilkan pada zaman ini. Antaranya ialah hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Hang Tuah Bustannus Salatin, Sejarah Melayu dan sebagainya.
Kesimpulannya, Bahasa Melayu Klasik mempunyai kesignifikannya tersendiri. Ianya menjadi titik bermulanya Bahasa Melayu Moden dan sebagai asas pembentukan bahasa baku di negara kita.
2. CIRI-CIRI BAHASA MELAYU KLASIK
Bahasa Melayu Klasik dapat dikesan kerana ianya mempunyai ciri-ciri tersendiri yang dapat kita kenali. Ciri-ciri yang terdapat dalam Bahasa Melayu Klasik itu adalah seperti berikut;
2.1 Ayat Panjang, Berulang-ulang dan Berbelit-belit
Antara ciri bahasa Melayu klasik yang membezakannya daripada bahasa lain ialah dari segi struktur ayatnya. Bahasa Melayu klasik menggunakan ayat yang panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit. Contoh ayat tersebut dapat dilihat dalam teks Sulalatus Salatin tulisan A.Samad Ahmad iaitu;
Adapun hikayatnya terlalu amat lanjut; jika kami hikayatkan semuanya; jemu orang yang mendengar dia; maka kami simpankan juga, kerana perkataan yang amat lanjut itu tiada gemar bagi orang yang berakal adanya.
(Sulalatus Salatin, halaman 18)
Ayat yang panjang dan berbelit-belit itu mungkin menyebabkan pembaca sukar atau keliru dalam memahami makna yang ingin disampaikan. Pengulangan perkataan yang sama maksudnya juga terdapat dalam ayat tersebut iaitu perkataan 'terlalut' dan 'amat'.
Ciri-ciri ini juga dapat diperhatikan dalam teks Hikayat Abdullah karya Abdul Kadir Munsyi iaitu;
Maka ada-lah yang ku lihat barang suatu pekerjaan-nyaperkataan-nya dan kepandaian-nya dan bangun-bangun orang-nya dan budi-bahasa-nya, jikalau tiada salah faham-ku bahawa dapat-tiada ia-ini orang-orang besar atau pandai, dan lagi dengan besar himmahnya.
( Hikayat Abdullah, halaman 75)
Penggunaan ayat yang panjang serta meleret-leret ini juga memaksa pembaca untuk mengulangi bacaan mereka dalam memahaminya maksud yang ingin disampaikan. Perkataan 'nya' juga jelas diulang-ulang pada hujung kata 'perkataan, pekerjaan'dan 'kepandaian'. 4
2.2. Banyak Ayat Pasif
Penulisan dalam karya-karya Bahasa Melayu Klasik juga memperlihatkan penggunaan ayat pasif atau ayat songsang dengan pendepanan predikat dan diikuti dengan subjek dibelakangnya. Contoh yang dapat membuktikan kenyataan ini seperti dalam ayat di bawah;
Syahadan maka setelah dilihat oleh Patih Aria Gajah Mada kelakuan Betara Majapahit itu...
(Sulalatus Salatin, halaman 116)
Setelah dilihat oleh Mansur Syah perihal itu, maka baginda pun….
(Sulalatus Salatin, halaman 139)
Shahadan apabila di-dengar oleh Tuan Raffles akan segala hal-ehwal itu….
( Hikayat Abdullah, halaman 106)
Sa-telah itu maka segera di-keluarkan oleh Tuan Farquhar perkataan lain, katanya..
( Hikayat Abdullah, halaman 162)
Penggunaan ayat pasif dalam hasil-hasil karya pada zaman itu disebabkan pengaruh bahasa Arab yang meluas ketika itu. Penggunaan ayat songsang dengan pendepanan predikat akibat pengaruh bahasa Arab dan ragam ayat pasif. (Goay Teck, Choo Say Tee, Zainuddin Ahmad, 2007).
Seperti yang kita ketahui bahawa pedagang-pedagang dari negara Arab telah menjalankan perdagangan disamping menyebarkan agama Islam di seluruh nusantara termasuklah di negara kita. Mereka telah menggunakan bahasa Arab dalam pertuturan mereka dan keadaan ini sedikit sebanyak telah menyebabkan Bahasa Melayu juga mengalami perubahan khususnya dalam penggunaan ayat pasif ini.
2.3. Penggunaan Bahasa Istana
Penggunaan Bahasa Istana juga menjadi salah satu ciri Bahasa Melayu Klasik. Hubungan masyarakat pada zaman itu amat rapat dengan istana. Sultan atau raja mempunyai kuasa mutlak dalam meletakkan satu-satu keputusan dalam pentadbiran kerajaan dan sangat disanjung oleh rakyat. Kemukarkaan terhadap golongan istana dilihat suatu perkara yang boleh melanggar adat dan tatasulila peradaban Melayu. Benarlah kata-kata 'biar mati anak jangan mati adat'.
Keadaan ini menyebabkan pertuturan masyarakat pada ketika itu dipengaruhi oleh bahasa istana sehingga dalam penulisan karya puisi mahupun prosa . Contoh perkataan-perkataan ganti nama seperti 'hamba', 'patik', 'tuanku' dan sebagainya telah digunakan. Perkataan kata kerja seperti 'titah' dan 'sembah' turut diselitkan dalam penerbitan karya sastera. Tidak ketinggalan juga penggunaan nama-nama jawatan seperti 'bendahara', 'laksamana' dan 'hulubalang' yang turut dimasukkan.
Ciri-ciri ini dapat ditemui dalam kedua-dua teks tersebut iaitu seperti dalam ayat ayat di bawah ini.
Maka Sultan Mansur Syah pun semayam di balai kecil menghadap orang mengepung Hang Jebat itu.
(Sulalatus Salatin, halaman 139)
Maka kata BendaharaSeri Maharaja, "Apa kehendak hati tuanku, katakanlah kepada patik."
(Sulalatus Salatin, halaman 251)
Maka Enche' Su-long pun pulang-lah, serta menyampaikan segala titah raja itu kepada Pawang Gajah…
( Hikayat Abdullah, halaman 57)
Sa-bermula ada pun asal-nya yang empunya tempat itu shahbandar dahulu di Melaka, yang bernama Mr.Alam…
( Hikayat Abdullah, halaman 125)
2.4. Penggunaan Kosa Kata Klasik
Penulisan karya dalam era penggunaan Bahasa Melayu Klasik turut memperlihatkan penggunaan kosa kata klasik. Perkataan seperti 'ratna mutu manikam', 'edan kesmaran', 'sahaya', 'masyghul, dan sebgainya yang dimuatkan dalam karya tersebut yang menjadi salah satu ciri yang terdapat dalam Bahasa Melayu Klasik.
Ciri-ciri ini masih lagi terdapat dalam karya Bahasa Melayu Klasik kerana penulis-penulis karya pada zaman itu masih lagi terikut-ikut dengan gaya penulisan Bahasa Melayu Lama.
Contohnya dapat kita temui seperti dalam ayat berikut;
Arakian maka dianugerahkan Raja Iskandar akan Tuan Puteri Syahrul-Bariyah kembali pada ayahnya, Raja Kida Hindi; maka dianugerahi Raja Iskandar akan Puteri Syahrul-Bariyah persalinan seratus kali, dan dianugerahi daripada emas dan perak, dan ratna mutu manikam, dan daripada permata dan harta…
(Sulalatus Salatin, halaman 7)
…daripada sutera benang emas kimka dewangga, serta beberapa benda yang gharib-gharib.
(Sulalatus Salatin, halaman 131)
Adapun hikayat perang Raja Haji itu terlalu-lah lanjut-nya, maka jikalau ku cheterakan, neschaya berlambatan-lah pekerjaan-ku, melainkan mengambil simpan-nya sahaja.
(Hikayat Abdullah, halaman 48)
2.5. Penggunaan Kata Pangkal Ayat / Praklausa
Ciri-ciri Bahasa Melayu Klasik juga adalah sering menggunakan perkataan-perkataan seperti 'maka', 'hatta', 'alkisah' dan sebagainya di pangkal atau perdu sesuatu ayat. Perkataan-perkataan ini juga boleh diibaratkan sebagai pembuka bicara dalam ayat-ayat dalam Bahasa Melayu Klasik. Hal ini dapat memperlihatkan nilai estetika atau keindahan dalam bahasa Melayu klasik yang pernah menjadi bahasa lingua franca pada suatu masa dahulu. Ciri-ciri ini dapat dilihat dalam ayat berikut;
Syahadan datanglah ke Teluk Belang, maka kenaikan itu tiadalah tertimba lagi, lalu akan tenggelam.
(Sulalatus Salatin, halaman 39)
Hatta Raja Rekan pun datang menghadap ke Melaka, maka sangat dipermulia oleh Sultan Muhammad Syah, kerana Raja Perempuan itu saudara sepupu kepada Raja Rekan.
(Sulalatus Salatin, halaman 82)
Arakian maka ada-lah kira-kira tiga bulan lama-nya dengan hal bersakit dan susah, kebanyakan pula orangmati, dan jatoh patah kaki tangan, tiba-tiba maka kedengaran-lah khabar mengatakan raja menyuroh…
( Hikayat Abdullah, halaman 50)
Ada-pun sa-telah sedikit hari kemudian daripada itu, datang-lah pula sa-orang paderi yang lain, naman-nya Tuan Slater…
( Hikayat Abdullah, halaman 135)
Maka sa-telah bapa-ku pulang, dalam enam tujoh hari juga tentu-lah sudah bichara kahwin itu…
( Hikayat Abdullah, halaman 144)
2.6. PENGGUNAAN PARTIKEL PUN DAN LAH
Kita juga dapat mengenai Bahasa Melayu Klasik kapabila banyak penggunaan partikal seperti ‘lah’ digunakan di bahagian hujung kata kerja atau ‘pun’ di bahagian tengah ayat. Contohnya seperti perkataan 'beradulah' atau ,berangkatlah'.
Hasil karya yang ditulis dalam teks Sulalatus Salatin dan Hikayat Abdullah juga tidak ketinggalan memasukkan ciri-ciri ini. Hal ini dapat dilihat dalam contoh ayat yang berikut;
Setelah didengar oleh si penyadap, maka ia pun hairanlah, seraya berkata…
( Silalatus Salatin, halaman 113)
…maka berkembang-lahsegala bunga-bungaan yang dari dalam taman pengasehan…
( Hikayat Abdullah, halaman 64)
Shahadan maka apa-bila di-lihat oleh orang Melayu semua-nya akan hal yang demikian, maka masing-masing pun ketakutan-lah…
( Hikayat Abdullah, halaman 53)
2.7. PENGGUNAAN KOSA KATA DARIPADA PENGARUH ARAB PARSI
Bahasa Melayu Klasik menerima pengaruh kuat daripada Arab dan Parsi sehingga hasil karya penulis-penulis pada zaman itu telah meminjam beberapa kosa kata daripada bahasa Arab. Penggunaan kosa kata tersebut bukan sahaja daripada bidang bahasa ilmu agama tetapi bidang-bidang yang lain seperti undang-undang, kesusteraan, perubatan dan pentadbiran.
Ciri-ciri ini nampak jelas digunakan terutama bagi penulis-penulis yang sezaman dengan A. Samad Ahmad dan penulis karya Hikayat Abdullah ini.
Contohnya dapat dilihat seperti dalam petikan ayat di bawah;
Maka beberapa lama-nya dalam hal yang sedemikian, maka datang-lah sa-orang orang Arab Sayyid yang bernama Habib Abdullah, bangsanya Haddad, maka ada-lah ia-itu aulia, maka sangat-lah di-permulia orang akan dia dalam Melaka; maka segala laki-laki dan perampuan pun pergi-lah berguru kepada-nya dari-hal perkara agama Islam.
( Hikayat Abdullah, halaman 10)
Perkataan 'Sayyid' adalah perkataan daripada bahasa Arab yang bermaksud ketua atau pemimpin telah diselitkan dalam contoh petikan ayat di atas. Begitu juga dengan perkataan 'aulia' yang bermaksud seseorang yang mempunyai pekerti yang baik.
Contoh lain yang kita dapat lihat adalah seperti petikan ayat di bawah ini;
...'Mari kita chuba jadikan kitab ilmu kira-kira dalam Bahasa Inggeris itu...
( Hikayat Abdullah, halaman 10)
Perkataan 'kitab' juga adalah kata yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud buku telah digunakan dalam teks Hikayat Abdullah itu. Begitu juga seperti dalam teks Sulalatus Salatin, penggunaan kata yang berasal daripada bahasa Arab juga turut digunakan. Contohnya seperti dalam petikan ayat di bawah;
Orang Kaya-kaya sekalian pertaruh kita, daripada memelihara dan mengajar, menegur dia; kerana ia budak penuh dengan khilaf dan bebalnya...
Perkataan 'khilaf' yang digunakan dalam petikan ayat di atas merujuk maksud selalu membuat kesilapan.
Komentar
Posting Komentar