SURAT TAK RASMI : PERSEDIAAN UPSR

SOALAN :
Anda diminta menulis surat kepada rakan anda untuk menceritakan tentang persediaan yang anda lakukan untuk menghadapi peperiksaan UPSR.

                                                     No. 74, Taman Seri Merapoh,
                                                     27210 Merapoh,
                                                     Kuala Lipis,
                                                     Pahang. Darul Makmur.

                                                    26 Januari 2011

Assalamualaikum. Menemui sahabatku Amir yang kini berada di Pulau Pinang, semoga dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

Sahabatku,

Apa khabar saudara sekarang? Bagaimana dengan persediaan saudara untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan kita hadapi pada bulan September nanti? Untuk pengetahuan saudara, saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Antara persediaan yang saya buat ialah mengulang kaji pelajaran dari pukul 8.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari.

Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Jika pada masa itu saya kurang faham, saya akan segera bertanya guru supaya saya terus dapat mengikuti pengajarannya.

Selain itu, ibu bapa saya pula telah menghantar saya belajar ke kelas tambahan sebanyak dua kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya amat berterima kasih atas usaha mereka itu. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya.

Di samping itu, saya juga selalu pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam Merapoh untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya akan pergi ke Perpustakaan Awam Merapoh pada hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar dan bertukar-tukar nota.

Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Sama-samalah kita berdoa agar mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke salah sebuah sekolah menengah yang terpilih.

Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudara kali ini. Akhir sekali, sambutlah salam ingatan saya untuk saudara serta keluarga.

                                                                                 Sahabatmu,


                                                                               .............................
                                                                            (Khairi bin Zaideen )

Komentar

Postingan Populer