FAKTA : FAEDAH BUAH-BUAHAN TEMPATAN

SOALAN :
Rakyat Malaysia digalakkan makan lebih banyak buah-buahan tempatan. Tuliskan tentang kebaikan buah-buahan tempatan.
** * *** *** *** ***

Buah-buahan tempatan ialah buah-buahan yang terdapat di negara kita Malaysia. Antara contoh buah-buahan tempatan ialah durian, rambutan, langsat dan lain-lain lagi.

Rakyat Malaysia digalakkan mengambil buah-buahan tempatan kerana buah-buahan tempatan masih segar. Oleh itu, buah-buahan ini tentu lebih berkhasiat kerana kandungan berbagai-bagai jenis zat dan vitaminnya masih terpelihara dan ini tentunya lebih baik untuk kesihatan kita.

Buah-buahan tempatan juga mudah didapati terutama pada musim buah-buahan. Pokok buah-buahan ini seperti pisang dan betik boleh kita tanam sendiri di sekeliling rumah, apatah lagi sekiranya kita tinggal di kampung. Ini akan akan memudah kita mendapatkan buah-buahan ini tanpa perlu pergi ke kedai dan sebagainya.

Buah-buahan tempatan juga dapat membantu meningkatkan ekonomi negara. Apabila kita lebih gemar memilih buah-buahan tempatan, ini akan meningkatkan pendapatan petani dan seterusnya dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Secara tidak langsung kita telah membantu negara dalam menyediakan peluang pekerjaan dan meningkat ekonomi negara.

Kesimpulannya, kita digalakkan makan buah-buahan tempatan kerana banyak kebaikannya. Tambahan pula buah-buahan tempatan didapati lebih murah daripada buah-buahan import. Oleh sebab itu, rakyat Malaysia dapat menikmati buah-buahan ini tanpa mengira kaya atau miskin.

Komentar

Postingan Populer