FAKTA : CARA MEMBASMI DEMAM DENGGI

Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang sangat berbahaya. Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya. Peyakit ini sudah menjadi masalah utama di negara kita kerana kematian akibat nyamuk Aedes di negara ini terus meningkat dari tahun ke tahun.

     Kita perlulah bekerjasama untuk membasmi pembiakan nyamuk Aedes. Antara cara untuk membasmi nyamuk Aedes ialah memastikan tiada takungan air yang dibiarkan yang boleh membiakkan nyamuk. Tempat-tempat tersebut seperti di dalam tempayan, pasu-pasu bunga, dan kolam mandi. Pastikan nyamuk tidak membiak di dalam tempat-tempat ini dengan menyalinkan airnya pada setiap minggu dan dibasuh sehingga bersih untuk memusnahkan telur nyamuk.

     Selain itu, tutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk daripada bertelur. Bekas yang tidak digunakan pula hendaklah dikumpulkan dan dibuang ke dalam tong sampah atau ditanam.

     Saluran bumbung juga boleh menakungkan air yang akan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Oleh itu, periksa saluran bumbung rumah seminggu sekali untuk membersihkan daun yang menyekat air daripada mengalir.

     Di samping itu, jika menggunakan takungan air untuk memerangkap semut daripada naik ke meja atau almari, air takungan itu perlulah dimasukkan garam sebanyak 2 sudu teh untuk mencegah pembiakan nyamuk.

    Ikan peliharan juga boleh membantu membasmi nyamuk Aedes kerana ikan seperti ikan gapi dan puyu akan memakan jentik-jentik. Oleh itu, peliharalah ikan-ikan ini dalam tangki-tangki besar bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes ini. Jika tidak, masukkan ubat pembunuh jentik-jentik dengan mengikut sukatan yang betul ke dalam semua bekas menyimpan air, tiga bulan sekali.

     Kesimpulannya, kita mestilah bekerjasama bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes. Justeru, setiap orang mestilah prihatin akan tempat-tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk. Ambillah tindakan yang sewajarnya jika mendapati tempat tersebut boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Komentar

Postingan Populer